KABUL - AFGHANISTAN. Sekurang-kurangnya tiga juta penduduk Afghanistan yang kini dilanda kemarau teruk berdepan risiko kebuluran jika tidak mendapat bantuan segera, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Kemarau di seluruh utara dan barat Afghanistan memusnahkan tanaman dan ternakan, bekalan air yang terhad juga memaksa ratusan ribu penduduk keluar dari rumah masing-masing.

Menurut penyelaras kemanusiaan badan dunia itu, Toby Lanzer, penduduk amat memerlukan makanan menjelang pertengahan Disember.

“Mereka bergantung kepada tidak sampai satu hidangan sehari dan ia cuma roti dan teh,” kata Lanzer.

Katanya, penduduk Afghanistan adalah dalam fasa ‘kecemasan’ keempat daripada indeks ketiadaan makanan, cuma satu tahap di bawah kebuluran.

Perangkaan itu adalah antara tertinggi di dunia dan memerlukan tindak balas amat pantas. -  AFP