JAKARTA - INDONESIA. Beberapa gempa kecil direkodkan di Pulau Lombok, Nusa Tenggara Barat sejak kelmarin.

Semalam, gegaran berkekuatan 5.3 skala Richter dilaporkan menggegar Lombok Timur pada jam 3.22 pagi (waktu tempatan).

Pusat gempa terbabit berada di 12 kilometer (km) di barat laut Lombok Timur pada kedalaman 10 km.

Gegaran seterusnya adalah pada jam 10.38 malam, namun kekuatan magnitud gempa itu tidak direkodkan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geologi Indonesia (BMKG).

Kelmarin, gempa 5.0 skala Richter turut direkodkan di timur laut Mataram, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Ketika kejadian, beberapa penduduk yang sedang tidur turut merasai goncangan yang berlaku selama beberapa saat. - Tribunnews  

Info:

Gegaran berkekuatan 7.0, 5.9, 6.5 dan 5.1 magnitud direkodkan sepanjang Ogos.