KAMPALA - UGANDA. Sekurang-kurangnya tiga orang cedera parah selepas lori membawa muatan bahan api meletup dalam kemalangan di lebuh raya di Mpigi, Uganda pada Rabu malam, menurut polis lapor agensi berita Xinhua.

Jurucakap Polis Uganda, Emilian Kayima berkata dalam satu kenyataan, pelanggaran itu menyebabkan letupan besar dan kebakaran.

Beliau berkata, kedua-dua kenderaan terbalik, apabila lori minyak itu cuba mengelak daripada bertembung dengan trak membawa muatan pisang dan arang hijau.

"Anggota bomba dan penyelamat mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran," kata Kayima.

Tiga mangsa dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Hospital Rubaga di Kampala.

Uganda merekodkan sekurang-kurangnya 20,000 kemalangan dengan lebih 2,000 kematian setiap tahun, menjadikannya antara negara yang mempunyai kadar nahas jalan raya tertinggi di dunia. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :