NEW DELHI - INDIA. Seorang petani di India menggunakan 'teknik baharu' untuk melindungi tanamannya dari jiran yang cemburu dan pencuri kubis.

Chenchu Reddy nekad meletakkan poster bekas pelakon porno di tepi kebunnya di Andhra Pradesh kononnya untuk menangkis 'mata jahat'.

Poster besar memaparkan Sunny Leone ketika zaman kegemilangannya memakai bikini merah sambil tersenyum itu berfungsi sebagai orang-orang yang biasa digunakan petani untuk menghalau burung.  

Menurut Reddy, kebun sayur miliknya sering menjadi sasaran individu yang dengki di kampungnya.

"Pada tahun ini, tanaman pada kebun seluas 4 hektar saya 'menjadi'. Ia menarik perhatian penduduk kampung dan orang yang melalui kawasan ini," katanya.

Jelasnya, helah itu berhasil dan berjaya mengaburi pandangan 'mata jahat'.

"Tiada lagi orang melihat tanaman saya," katanya lagi.

Sunny Leone atau nama sebenarnya Karenjit Kaur Vohra menikmati kejayaan sebagai aktres Bollywood selepas meninggalkan industri porno. - Daily Mail