YANGON - MYANMAR . Ketua tentera Myanmar menegaskan pelarian Rohingya yang kembali semula ke negara itu akan selamat selagi mereka tinggal di kawasan kem dan kampung yang 'ditetapkan' untuk mereka.

"Tiada apa yang perlu dibimbangkan tentang keselamatan mereka," kata Jeneral Kanan, Min Aung Hlaing kepada delegasi PBB pada minggu lalu menerusi kenyataan yang turut dimuat naik di Facebook, hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan rogol dan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik minoriti tersebut yang didakwa kononnya sengaja 'dibesar-besarkan' walaupun terdapat bukti yang didokumentasikan terhadap perkara itu.

Sebelum ini, wakil Majlis Keselamatan PBB (UNSC) yang melawat ke Bangladesh dan Myanmar menggesa Yangon melakukan siasatan lebih telus ke atas kekejaman yang dilakukan ke atas penduduk Islam di Rakhine itu.

Pasukan perubatan antarabangsa yang melakukan pemeriksaan ke atas pelarian terbabit juga mengesahkan kecederaan pada tubuh mereka adalah disebabkan perbuatan ganas termasuk rogol. - Press TV