BANGKOK  – THAILAND. Thailand memohon kerjasama Malaysia untuk menghantar kembali  rakyat Uighur yang dipercayai menyelinap masuk ke negara jiran itu, selepas meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen di Sadao, semalam.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Jen Prawit Wongsuwan, lima daripada 20 rakyat Uighur yang melepaskan diri itu telah ditangkap semula, tetapi beliau tidak memberikan butir lanjut mengenainya, lokasi dan di negara mana mereka ditangkap semula.

"Lima daripada mereka telah ditangkap semula dan selebihnya telah merentasi sempadan (Malaysia). Jadi sekarang kami menghubungi rakan sejawatan di Malaysia untuk menghantar mereka balik kepada kami,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat mingguan kabinet di sini hari ini.

Katanya, terdapat antara 100 hingga 200 rakyat Uighur yang sedang ditahan di Thailand.

Dalam insiden 2 pagi (waktu tempatan) semalam, 20 rakyat Uighur yang menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal mereka meloloskan diri dari Pusat Tahanan Imigresen Sadao.

Mereka dipercayai menghala ke hutan berdekatan di sempadan Malaysia-Thai.

Kumpulan Uighur itu yang ditahan di pusat itu sejak 2014 telah menebuk lubang dinding tahanan dan turun dari bangunan dengan menggunakan selimut.

Lapan pegawai imigresen pusat itu telah ditukarkan ketika pihak berkuasa memulakan siasatan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, timbalan perdana menteri berkata rakyat Uighur itu boleh dihantar pulang ke negara asal mereka, negara kelahiran, atau negara ketiga.

Beberapa wanita dan kanak-kanak Uighur telah dihantar ke negara ketiga memandangkan mereka  tidak mempunyai rekod jenayah, kata Prawit, dan menambah pihak berkuasa bercadang membawa 20 rakyat Uighur itu ke Bangkok sebelum mereka melepaskan diri.

Sementara itu di Songkla di selatan Thai, Ketua Polis Imigresen Lt Jen Suthipong Wongping yang meninjau pusat tahanan itu hari ini berkata mereka telahpun memberitahu pihak berkuasa Malaysia mengenai insiden Uighur melarikan diri.

Katanya, pihak berkuasa dapat mengesan laluan Uighur melarikan diri dan kesemua mereka telah keluar dari Thailand.

Beliau berkata polis imigresen telah membentuk jawatankuasa menyiasat insiden itu.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :