BANGKOK - Polis mempunyai bukti mencukupi untuk mendakwa suspek rakyat Iran dalam tiga insiden pengeboman semalam di ibu negara ini walaupun seorang daripada mereka menafikan pembabitannya.

Ketua Polis Negara Polis Jen Priewpan Damapong berkata, bukti-bukti itu termasuk saksi dan forensik.

Suspek itu ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi di sini semalam, semasa hendak meninggalkan negara ini, menafikan perkara itu melalui seorang penterjemah hari ini, katanya kepada pemberita di sini.

Katanya, polis mengenal pasti identiti suspek ketiga yang melarikan diri ke Malaysia melalui penerbangan 10.20 malam semalam.

"Kita telah menghubungi polis Malaysia untuk mendapatkan bantuan mereka bagi menangkap suspek terbabit," katanya.

Tiga kejadian letupan bom menggegarkan ibu negara ini semalam termasuk satu insiden di mana seorang lelaki rakyat Iran hilang kedua belah kakinya apabila sebutir bom yang dilontar ke arah sebuah kereta peronda polis, melantun dan mengenainya di  Jalan Sukhumvit 71, di sini.

Setakat ini, polis menahan dua suspek rakyat Iran termasuk suspek yang cedera dan masih dirawat di sebuah hospital di sini manakala dua lagi suspek rakyat Iran termasuk seorang wanita, masih bebas.

Mereka menghuni rumah sewa yang sama berdekatan Jalan Sukhumvit 71 yang rosak sebahagiannya akibat satu daripada letupan itu. - Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.