TEL AVIV - Sahabat lama kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan mencapai kesepakatan dengan polis untuk mendedahkan kesalahannya ketika siasatan ke atas salah satu daripada empat kes rasuah pemimpin tersebut.

Semalam, media tempatan melaporkan Ketua Pengarah Kementerian Komunikasi, Shlomo Filber yang diberkas pada awal minggu lalu bersetuju memberi keterangan tentang bagaimana Netanyahu mengarahkannya untuk memberi 'faedah' kepada syarikat telefon gergasi, Bezeq sebagai pertukaran untuk liputan positif di dalam sebuah portal.

"Filber bagaimanapun menuntut tidak dikenakan hukuman penjara sebagai pertukaran dengan keterangannya dalam Kes 4000 itu," jelas laporan itu lagi.

Minggu lalu, polis mencadangkan Netanyahu didakwa atas tuduhan rasuah, pecah amanah dan penipuan dalam dua kes.

Di bawah Kes 1000, beliau dipercayai menerima wang suapan daripada seorang ahli perniagaan di luar negara manakala Kes 2000 pula pemimpin itu didakwa membantu akhbar Yediot Aharonot sebagai balasan untuk liputan positif ke atasnya. - Press TV