JAKARTA - INDONESIA. Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) menyatakan kesediaannya untuk melaksanakan pembangunan rumah dengan struktur tahan gempa di Nusa Tenggara Barat (NTB).

"Pelaksanaan teknologi risha (rumah segera tahan gempa) di 19 lokasi sudah selesai," kata Menteri PUPR, Basuki Hadimuljono dalam Mesyuarat Tindakan Lanjut untuk Menangani Gempa Bumi NTB di Jakarta, kelmarin.

Menurutnya, kementerian terbabit telah menghantar 400 jurutera muda di kesemua lokasi terbabit untuk membantu masyarakat membangunkan rumah tahan gempa.

"Teknologi risha itu tidak akan memberi impak besar kepada struktur apabila berlaku gempa kuat. Ia hanya rosak dan tidak akan roboh, sekali gus mengurangkan risiko mangsa terkorban," ujarnya lagi.

Difahamkan, sejumlah rumah dengan teknologi risha telah dibangunkan di wilayah itu pada 2010 dan ia masih berada dalam keadaan baik selepas siri gempa yang melanda Pulau Lombok.

Kementerian terbabit juga telah bekerjasama dengan Dewan Perdagangan dan Industri (Kadin) untuk membuka lapan depot di lima kecamatan bagi menyediakan bahan binaan bangunan dengan jumlah yang mencukupi serta harga berpatutan.

Sementara itu, Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Willem Rampangilei memaklumkan jumlah kerugian akibat kemusnahan insfrastruktur di Nusa Tenggara Barat mencecah 10.1 trilion rupiah (RM2.8 bilion) dan dana sebanyak 8 trilion rupiah (RM2.2 bilion) diperlukan untuk pembangunan semula di wilayah itu.

Di bidang pendidikan, sebanyak 1,194 sekolah mengalami kerosakan yang mana 75 peratus daripadanya adalah sekolah rendah.

Selain kemusnahan infrastruktur, siri gempa itu turut memberi impak besar kepada sektor pelancongan, pertanian dan perikanan. - Akurat.co