FLORIDA - Taufan Irma yang melanda Cuba hingga menyebabkan kematian seramai 24 orang dijangka membadai Florida, hari ini.

Laporan agensi media antarabangsa menyebut, kira-kira 5.6 juta penduduk Florida telah diarahkan untuk berpindah meninggalkan negeri tersebut.

Ia merupakan pemindahan berskala besar dalam sejarah negara berkenaan.

Pusat Taufan Nasional berkata, ribut itu diramal semakin kuat dan akan membadai Florida Keys sebagai taufan kategori lima iaitu tahap taufan terkuat dengan kelajuan angin kira-kira 258 kilometer sejam dan menghasilkan ombak setinggi 3.66 meter.

Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA) pula melaporkan, Amerika Syarikat hanya pernah menyaksikan tiga ribut kategori lima sejak 1981.

Katanya, taufan Irma adalah lebih besar berbanding taufan Andrew yang menjadi taufan kategori lima terakhir pernah melanda Amerika Syarikat pada 1992. - CNN