MEXICO CITY - MEXICO. Sekitar jam 1.15 petang tadi, gempa bumi kuat berukuran 7.1 pada skala Richter sekali lagi menggegarkan kawasan sekitar Mexico City dan meragut lebih 200 nyawa selain menyebabkan puluhan bangunan runtuh.

Kesan paling besar adalah di bandar Mexico City yang padat dengan penduduk, tetapi gegaran paling teruk berlaku di Puebla, kerana ia terletak lebih hampir dengan pusat gempa.

Kekuatan gegaran dijana daripada kedalaman hampir 50 kilometer dalam masa hanya 20 saat, namun gelombang ombak bertahan lebih lama sehingga satu atau dua minit di kawasan gunung dan lembah.

Menurut ahli geofizik di Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), John Bellini, adalah sukar untuk melihat gempa bumi kuat terjadi berturut dan begitu hampir di antara satu dengan lain.

"Biasanya, gegaran besar tidak berlaku selepas gempa terdahulu menggegarkan sesebuah kawasan itu. Bagaimanapun, di rantau yang sangat aktif secara seismik di dunia, ia boleh berlaku," jelasnya.

Difahamkan, Mexico terdedah dengan gempa kerana ia terletak di sempadan tiga keping kerak bumi yang dipanggil plat tektonik.

"Gegaran bergantung kepada jenis tekanan yang dibina di plat Cocos dekat pinggir barat Mexico. Plat Cocos bergegar dengan pantas di bawah kerak benua Amerika Utara, sekali gus membina tekanan dan ketegangan pada kadar lebih cepat. Jadi, gempa kerap mungkin berlaku kerana itu," kata Bellini.

Selain itu, kawasan pusat bandar Mexico juga terdedah kepada gempa kerana tanah lembut dan basah di mana bahagian bawah tasik purba mengalir seperti jeli.

"Apabila gelombang gempa melintasinya, ia menghasilkan gegaran. Jadi, punca Mexico lebih terdedah kepada kerosakan adalah kerana penguatan tasik terbabit," menurutnya lagi.

Sejak 1900, terdapat 34 gempa bumi besar dengan kekuatan lebih 7 pada skala Richter melanda Mexico. Nyata, kekerapan bencana seumpamanya telah mengajar negara tersebut untuk menangani kejadian dengan cara yang sukar.

Sistem amaran awal gempa bumi yang dibangunkan dilihat banyak membantu. Pemberitahuan daripada sistem yang terletak berhampiran dengan pusat gempa dan seterusnya menghantar amaran sekurang-kurangnya memberi sedikit masa kepada penduduk dan kemudahan untuk membuat persediaan. - The Vergew

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MEXICO CITY - MEXICO. Anggota kecemasan mengeluarkan korban terakhir daripada runtuhan gempa bumi yang menggegarkan Mexico 19 September lalu dan meragut lebih 360 nyawa.
  • MEXICO CITY - MEXICO. Usaha mencari dan menyelamat (Sar) seorang kanak-kanak perempuan selama beberapa jam selepas gempa berkekuatan 7.1 skala Richter menggegar Mexico dan meragut sekurang-kurangnya 240 nyawa pada Selasa lalu akhirnya bertukar misteri.
  • MEXICO CITY - Lebih 100 orang meninggal dunia manakala ratusan yang lain terperangkap dalam runtuhan bangunan selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud berlaku di sini, lapor metro.co.uk.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.