TAIPEI - Taiwan dilaporkan sedang giat menarik kedatangan pelancong beragama Islam dari Asia Tenggara selepas jumlah pengunjung dari tanah besar China kian berkurangan.

Bilangan pelancong dari China semakin merosot di tengah-tengah ketegangan Beijing-Taipei.

Susulan itu, Taiwan berusaha mengeratkan lagi hubungan dengan 16 negara di bahagian selatannya dan juga di Asia Tenggara serta Australia dan New Zealand di bawah langkah yang digelar dasar menuju ke selatan.

Ini bermakna terdapat lebih ramai pelancong dari negara-negara majoriti Muslim seperti Malaysia dan Indonesia dengan tambahan 30 peratus pelancong dari Asia Tenggara pada 2017.

Selain Taiwan, Thailand, Korea Selatan dan Jepun juga antara negara-negara Asia yang meneroka pasaran pelancong Muslim yang dipacu penerbangan murah dan golongan kelas tengah yang semakin bertambah di negara seperti Indonesia.

Usaha Taiwan menarik pelancong Muslim turut disokong oleh negara-negara Islam lain seperti Turki.

Baru-baru ini, semasa mengadakan lawatan ke Istanbul, datuk bandar Taipei bertemu dengan penggubal dasar Turki yang berminat untuk menampung pembinaan masjid ketiga di Taipei.

Selain itu, Taiwan juga sedang menjalankan percubaan untuk mengecualikan rakyat Thailand, Brunei dan Filipina daripada menggunakan visa untuk memasuki bandarnya. - AFP