YANGON - MYANMAR. Suruhanjaya siasatan baharu yang ditubuhkan Myanmar bagi meneliti pencabulan hak asasi manusia di Rakhine dikritik pemantau sebagai 'gimik politik', ketika negara itu cuba mengelakkan kecaman berterusan berhubung layanan terhadap minoriti Islam Rohingya.

Kerajaan Myanmar mengumumkan suruhanjaya siasatan 'bebas' ditubuhkan tetapi tidak memberikan butiran mengenai tugasan, kuasa atau rangka masa yang diberikan untuk melengkapkan laporan.

Penganalisis beribu pejabat di Yangon, David Mathieson, menyifatkan suruhanjaya baru itu cuma 'gimik politik'.

"Memandangkan bukti kukuh yang dikumpul Amnesty International, PBB dan media, Suruhanjaya Siasatan (CoI) ini bukan siasatan betul," katanya, menambah ia hanya 'bertembung dengan tentera yang menutup kes pembersihan etnik.'

Anggota suruhanjaya baru itu termasuk dua warga asing dan dua rakyat Myanmar, bekas Timbalan Menteri Luar Filipina, Rosario Manalo, bekas wakil Jepun di PBB, Kenzo Oshima, bekas pengerusi tribunal Perlembagaan Myanmar, U Mya Thein dan Aung Tun Thet, yang mengetuai badan kerajaan khas untuk krisis Rohingya.

Susulan keganasan tentera yang meranapkan perkampungan Rohingya bermula Ogos tahun lalu, kira-kira 700,000 etnik minoriti tersebut melarikan diri ke Bangladesh.

Pelarian Rohingya memberikan keterangan mengenai pembunuhan, rogol, penderaan dan kebakaran khianat angkara pihak tentera dan penduduk Buddha.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menyifatkan keganasan tersebut sebagai pembersihan etnik.

Dalam beberapa dekad sebelum itu, hak asasi penduduk Rohingya digugurkan secara bersistematik oleh negara yang menganggap mereka sebagai pendatang haram dari Bangladesh. - AFP