JUBA - SUDAN SELATAN. Ahli Parlimen di Sudan Selatan, hari ini mengundi untuk melanjutkan mandat kerajaan sementara pimpinan Presiden Salva Kiir bagi tempoh tiga tahun lagi.

"Rang undang-undang pindaan Perlembagaan Nombor Lima untuk tahun 2018 diluluskan badan perundangan kebangsaan," kata Speaker, Anthony Lino Makan selepas ahli Parlimen menyokong dokumen tersebut yang akan ditandatangani oleh Kiir untuk menjadi undang-undang.

Difahamkan, undang-undang itu membolehkan Kiir kekal memegang tampuk pemerintahan sehingga 2021 walaupun beliau terlibat dalam rundingan damai serantau bersama bekas timbalannya yang menjadi pemimpin pemberontak, Riek Machar bagi menamatkan perang saudara selama empat tahun.

Kiir dan Machar terlibat dalam konflik pada Disember 2013 yang turut menyaksikan puluhan ribu terbunuh manakala jutaan lagi terpaksa meninggalkan kediaman hingga mencetuskan krisis pelarian serantau dan kebuluran besar-besaran.

Pusingan rundingan yang diadakan bersama blok perdagangan serantau digelar Pihak Berkuasa Pembangunan Antarakerajaan (IGAD) gagal untuk membawa keamanan atau melaksanakan gencatan senjata secara kekal.

Rundingan terbaharu menyaksikan kedua-dua pihak bertelagah bersetuju untuk berkongsi kuasa termasuk Machar kembali memegang jawatannya sebagai timbalan presiden, namun ia masih dalam perbincangan. - AFP