HYDERABAD - INDIA. Seorang suami yang juga bapa kepada seorang anak sanggup mereka-reka cerita mengatakan beberapa pesawat akan dirampas di beberapa daerah di sini semata-mata untuk mengelak pergi bercuti bersama teman wanitanya.

Polis di selatan India, Hyderabad menahan Moraparthi Vamshi Krishna selepas lelaki itu didakwa menghantar emel palsu kepada pihak berkuasa memaklumkan akan terdapat rancangan plot rampasan pesawat.

Menurut kenyataan daripada polis Hyderabad yang dipetik CNN, dalam email yang dihantar kepada polis Mumbai pada Sabtu, Krishna yang menyamar sebagai wanita memaklumkan dia ada mendengar enam lelaki merancang untuk merampas pesawat di Hyderabad, Chennai dan Mumbai pada hari berikutnya.

Susulan itu, polis Mumbai kemudian memaklumkan kepada agensi keselamatan untuk meningkatkan keselamatan di lapangan terbang berkenaan.

Penyiasat kemudian mengesan alamat IP emel tersebut dihantar iaitu di sebuah kafe siber E Netzone di Hyderabad dan menyiasat pemilik emel berkenaan.

Selepas memeriksa rakaman CCTV dari kawasan itu, polis kemudian mengenal pasti Krishna yang mengaku sengaja mereka-reka cerita bagi mengelak pergi bercuti bersama teman wanitanya.

Polis berkata, ketika disoal siasat Krishna mengaku kekasih dalam taliannya yang berada di Chennai mahu membawa hubungan mereka ke tahap seterusnya dan merancang percutian ke Mumbai dan Goa.

Lelaki itu berkata, dia tidak mempunyai wang yang cukup untuk bercuti dan walaupun memberitahu teman wanitanya itu, wanita itu tetap bertegas mahu pergi.

Akur dengan permintaan kekasihnya itu, Krishna yang juga agen pelancongan mendapat idea menipu wanita itu dengan membuat tiket palsu dari Chennai ke Mumbai untuk teman wanitanya.

Selepas menghantar tiket berkenaan kepada kekasihnya, dia menghantar mesej kepada pihak polis melalui emel palsu dan memaklumkan rancangan rampasan pesawat.

"Lelaki berkenaan tidak mempunyai wang, namun jika dia membatalkan percutian kerana itu, ia akan menjatuhkan maruahnya dan hubungan dengan gadis berkenaan akan putus.

"Jadi, dia berfikir, jika penebangan terpaksa dibatalkan, dia tidak akan dipersalahkan, " kata

timbalan pesuruhjaya  polis di Hyderababd yang mengetuai penyiasatan, B. Limba Reddy.

Reddy memberitahu CNN, Krishna sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak dan lelaki itu sangat aktif di media sosial.

Krishna akan berdepan empat pertuduhan termasuk penyamaran dan memberi maklumat palsu.

Jika sabit kesalahan dia  boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda $150 (RM659).

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.