COLOMBO - SRI LANKA. Sri Lanka hari ini mengumumkan bahawa ia akan mula menggantung pengedar dadah, sekali gus mengakhiri moratorium terhadap hukuman mati selama hampir setengah abad.

Presiden Maithripala Sirisena memberitahu kabinet bahawa beliau bersedia untuk menandatangani waran kematian pesalah dadah berulang, kata jurucakap kerajaan, Rajitha Senaratne.

Sri Lanka sebelum ini menukar hukuman mati untuk jenayah serius kepada hukuman penjara seumur hidup, sejak 1976 ketika pelaksanaan hukuman mati terakhir dilakukan.

Senaratne berkata, hukuman mati terhadap 19 pesalah dadah sudah ditukar kepada penjara seumur hidup.

Namun, tidak pasti sama ada mereka akan digantung susulan perubahan dasar kerajaan.

Pihak berkuasa berkata, pendekatan yang lebih tegas diperlukan untuk memerangi peningkatan jenayah berkaitan dadah.

Kerajaan negara itu mendapat inspirasi daripada perang dadah Filipina yang menjadi tumpuan dalam pentadbiran Presiden Rodrigo Duterte.

"Kami diberitahu bahawa Filipina sudah berjaya menggunakan tentera dan berjaya menangani masalah ini.

"Kami akan cuba meniru kejayaan mereka," kata Senaratne mengenai keputusan untuk menggunakan tentera untuk menangani dadah. - AFP