NAIROBI - KENYA . Pihak berkuasa di Kenya melancarkan siasatan bebas terhadap kematian spesies terancam badak hitam ketika ia dipindahkan ke sebuah taman negara.

Selasa lalu, Menteri Pelancongan, Najib Balala memberitahu sembilan haiwan tersebut disahkan mati berbanding lapan yang dilaporkan pada Jumaat lalu.

"Dua badak betina daripada kumpulan itu berada dalam keadaan baik. Pihak berkuasa mempunyai tempoh seminggu untuk menentukan punca kematian haiwan terbabit. Laporan awal yang kami peroleh daripada Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) mendapati ia berpunca daripada keracunan air garam di habitat baharu selepas dipindahkan ke Taman Negara Tsavo Timur," katanya dalam satu sidang media di Nairobi.

Difahamkan, terdapat kemungkinan lain termasuk haba panas yang menyebabkan kematian haiwan tersebut.

"Kami akan menyiasat sama ada taman negara itu adalah tempat yang sesuai untuk memindahkan haiwan. KWS tidak akan terlibat dalam siasatan tersebut demi untuk memastikan ia telus dan bebas," ujar Balala lagi.

Kematian badak hitam itu memberi tamparan hebat kepada Kenya di mana pelancongan hidupan liar merupakan tarikan utama di negara terbabit selepas spesies badak putih utara jantan mati pada Mac lalu. - Agensi