KATHMANDU - NEPAL. Seorang sherpa yang hilang selama empat hari di Gunung Everest dianggap telah meninggal dunia, kata pihak berkuasa Nepal hari ini.

Lama Babu yang tiba di puncak Everest dengan pasukan pendaki dan pemandu arah lain pada Isnin, tetapi terpisah dari kumpulan ketika mereka turun dan kelibatnya tidak lagi kelihatan sejak itu.

"Pendaki lain telah menemui pakaian dan barangan peribadi tetapi bukan mayatnya.

"Dia telah hilang dalam tempoh lama sekarang dan mustahil untuk dia selamat dan hidup," kata seorang jurucakap kerajaan.

Sementara itu, majikan mangsa memberitahu pasukan itu mengalami kesukaran ketika turun akibat angin kencang.

"Rakan-rakan dan pendaki lain beranggapan dia akan turun selepas cuaca reda, tetapi jangkaan itu melesat kerana dia tidak lagi kelihatan sejak itu," katanya.

Kira-kira 100 pendaki tiba di puncak Everest minggu ini dalam minggu pendakian yang berlangsung sepanjang April dan Mei.

Tahun lalu, tujuh orang dilaporkan maut ketika melakukan pendakian atau menuruni Everest.

Hampir 570 pendaki berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu dan kebanyakannya naik dari Nepal. - AFP