GENTING GAZA - PALESTIN. Gerakan Hamas dan Israel, semalam bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang menyaksikan Mesir sebagai pengantara bagi menghentikan ketegangan yang semakin meningkat di wilayah itu.

"Usaha Mesir berjaya meredakan konflik antara kedua-dua belah. Hamas akan menghormati gencatan senjata itu selagi Israel berbuat demikian," kata seorang pegawai Palestin.

Tel Aviv bagaimanapun menafikan persetujuan telah dicapai tentang perkara tersebut.

Terdahulu, Timbalan Ketua Hamas di Gaza, Khalil al-Hayya berkata, usaha untuk mencapai tempoh bertenang itu menunjukkan perkembangan positif.

Jelasnya, Hamas akan terus mendesak Israel menarik balik sekatan haram ke atas Genting Gaza sebagai sebahagian daripada usaha untuk meneruskan rundingan tersebut.

Difahamkan, perkembangan terbaharu itu dicapai dua hari selepas rejim Zionis melancarkan serangan udara ke atas kira-kira 150 kedudukan di wilayah tersebut.

Serangan balas itu dilancarkan selepas roket jarak jauh dibedil dari Palestin dan jatuh di kawasan tidak berpenghuni di selatan Israel.

Media tempatan melaporkan lebih 140 serangan dilancarkan dalam tempoh 24 jam dan turut meragut nyawa seorang wanita hamil bersama bayinya, kelmarin.

Sementara itu, Presiden Mahmoud Abbas telah menggesa PBB supaya menghentikan pencerobohan baharu ke atas Gaza yang berada di bawah kepungan haram Israel selama hampir sedekad.

Data dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin menunjukkan hampir 160 penduduk Palestin terbunuh manakala 17,500 cedera sejak kumpulan penunjuk perasaan mengadakan protes di sempadan pada Mac lalu. - Press TV