MADRID - SEPANYOL. Seorang maut, manakala 49 lagi dilaporkan cedera apabila sebuah kereta api membawa 133 penumpang tergelincir dari landasan dalam satu kejadian berhampiran Barcelona, hari ini.

Menurut pasukan keselamatan, dua gerabak kereta api tergelincir dari landasan pada jam 6.15 pagi waktu tempatan berhampiran bandar Vacarisses, 35 kilometer di timur laut Barcelona.

Dari 133 penumpang yang menaiki kereta api tersebut seorang dilaporkan maut, 44 cedera ringan, manakala lima lagi mengalami cedera parah.

Pengendali kereta api yang dalam perjalanan antara Manresa dan Barcelona itu berkata, insiden terjadi akibat tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Akhbar El Periodico melaporkan, pemandu kereta api melihat tanah runtuh tersebut dan menekan brek kecemasan namun gagal mengelak kemalangan terbabit.

"Kawasan tersebut dilengkapi jaring bagi mengelak batuan daripada jatuh, namun ia tidak mampu menghalang tanah runtuh," kata Menteri Pengangkutan, Jose Luis Abalos sambil menambah siasatan terperinci akan dijalankan. - AFP