CORSICANA - AMERIKA SYARIKAT. Taktik seorang wanita dari Texas yang cuba menyembunyikan dadah dan barangan curi menggunakan najis gagal mengaburi mata pihak berkuasa.

Pegawai di Corsicana, kira-kira 88 kilometer di selatan Dallas berkata, Shannen Martin ditahan susulan satu laporan kecurian di sebuah kedai runcit pada Rabu lalu.

Semasa diletakkan di bahagian belakang kenderaan polis, Shannen dengan sengaja membuang air besar dalam seluar.

Dia kemudiannya bertindak menyembunyikan sepeket dadah seberat 2.3 gram dan sekeping kad ucapan Valentine ke dalam seluarnya yang dipenuhi najis.

Gara-gara tindakan wanita itu, polis terpaksa menyelongkar seluarnya yang dipenuhi tahi bagi mendapatkan semula bahan bukti.

Difahamkan, Shannen didakwa cuba menghapuskan bahan bukti dan memiliki bahan terkawal. - AP