WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyifatkan sekatan baharu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara hanya satu 'langkah sangat kecil', lapor agensi berita China Xinhua.

"Pihak kami rasa ia hanya satu lagi langkah sangat kecil, bukan perkara besar. Saya tidak tahu jika ia mampu memberikan apa-apa kesan," kata Trump pada Selasa sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Trump lagi, sekatan baharu itu tidak mempunyai sebarang makna berbanding apa yang akan berlaku nanti.

Majlis Keselamatan PBB pada Isnin sebulat suara menerima pakai resolusi untuk mengenakan sekatan baharu ke atas Korea Utara kerana melanggar resolusi sebelum ini dan melancarkan ujian nuklear pada 3 September lepas.

Ini adalah kali kelapan PBB bertindak mengenakan sekatan terhadap Pyongyang, sejak negara itu melancarkan ujian peluru berpandu pada 2006.

Di bawah sekatan baharu itu, Korea Utara berdepan import minyak yang dihadkan, pengharaman eksport tekstil bernilai AS$800 juta dan 93,000 pekerja Korea Utara di luar negara dilarang melakukan transaksi kiriman wang. - Bernama