PULAU JEJU/SEOUL - KOREA SELATAN. Lapangan terbang di pulau peranginan Jeju, Korea Selatan kembali beroperasi dan mula mengangkut lebih 7,000 penumpang yang terkandas akibat salji lebat.  

Perkhidmatan  di lapangan terbang itu beroperasi semula selepas kerja-kerja mengalihkan sebahagian salji dan ais dari landasan pada awal pagi selesai, lapor agensi berita Yonhap.

Penerbangan pertama ke Gimpo, di barat Seoul, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jeju pada 7.30 pagi, memetik Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan.

Bagaimanapun, beberapa penerbangan akan ditangguhkan untuk membolehkan kerja-kerja mengalihkan salji diteruskan.

Seramai 7,047 penumpang terkandas di Jeju, berikutan cuaca sejuk dan salji lebat yang menjejaskan bahagian selatan Korea Selatan. - Bernama