JAKARTA - Rusia sekali lagi menawarkan kepada kerajaan Indonesia agar menyelesaikan perjanjian projek stesen satelit yang tertangguh dengan memberi idea negara republik itu bakal menjadi negara angkasa berprestij.
Duta Rusia ke Indonesia, Alexander A. Ivanov mengulangi tawaran itu kelmarin, memberitahu negaranya mempunyai minat yang mendalam terhadap projek membangunkan stesen pelancaran satelit di Pulau Biak, berhampiran utara pantai Papua dan 3,200 kilometer (km) timur laut Jakarta.
Menurut Ivanov, pelan yang dibuat 2006 lalu, masih belum disahkan, namun pihak Rusia telah menyediakan draf persetujuan dengan pengecualian satu artikel iaitu keimunan teknologi peluru berpandu.
Indonesia bagaimanapun, masih meragui artikel itu tetapi asyik menerima desakan Rusia yang beralasan negara republik itu bukan ahli Regim Kawalan Teknologi Peluru Berpandu yang juga satu perkongsian tidak rasmi dan sukarela antara 34 negara untuk menghalang pembinaan peluru berpandu dan teknologi kenderaan udara tanpa manusia membawa muatan sekurang-kurangnya 300 kilogram.





