MANILA - FILIPINA. Banjir yang dicetuskan oleh ribut tropika menyebabkan kebanyakan jalan dan lebuh raya di Filipina ditenggelami air, selain memaksa kerajaan menutup sekolah dan pejabat di bandar Manila serta beberapa wilayah lain yang tejejas, lapor agensi berita China Xinhua pada Isnin.

Menurut jurucakap Presiden, Ernesto Abella penutupan itu diumumkan berdasarkan cadangan Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan.

Urusan di Mahkamah Agung dan kongres di kawasan terjejas juga dihentikan sementara.

Ribuan penumpang bas dan feri dilaporkan terkandas di pulau Luzon menyebabkan amaran risiko banjir lumpur turut dikeluarkan.

Selain itu, lapangan terbang juga mengumumkan pembatalan beberapa penerbangan disebabkan cuaca buruk.

Ribut tropika Marine dijangka menjejaskan wilayah Mauban, Quezon pada Selasa pagi dan hujan lebat disusuli angin kencang diramal melanda Manila serta wilayah berdekatan apabila ribut bergerak melintasi wilayah Quezon, kata biro cuaca tempatan.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan pada jam 4 pagi waktu tempatan, Selasa, Marine dengan kekuatan angin 60 hingga 80 kilometer sejam akan bergerak ke arah barat dengan kelajuan 15 kilometer sejam.

Kira-kira 21 kawasan diletakkan di bawah amaran ribut tropika termasuk bandar Manila. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :