DHAKA - BANGLADESH. Ribuan pelarian Rohingya meninggalkan 'tanah tidak bertuan' di sempadan antara Myanmar dan Bangladesh selepas wakil kedua-dua negara bertemu untuk berbincang tentang langkah penempatan semula golongan itu pada 20 Februari lalu.

Kelmarin, pengawal sempadan Bangladesh, Mejar Iqbal Ahmed memaklumkan kira-kira separuh daripada pelarian yang berada di kawasan tersebut telah memasuki Dhaka.

"Kini, hanya kira-kira 2,500 hingga 3,000 yang masih berada di kawasan tersebut," ujarnya.

Sementara itu, pemimpin kumpulan tersebut, Dil Mohammed memberitahu mesyuarat dengan ketua komuniti yang dicadangkan pegawai Myanmar tidak berlangsung seperti yang dijanjikan.

"Kami sentiasa berada dalam ketakutan. Kami tidak akan pindah ke kem tersebut. Tiada jaminan untuk hidup," katanya merujuk kepada kem sementara dibina Yangon untuk menempatkan pelarian Rohingya di bawah perjanjian penghantaran pulang dimeterai bersama Bangladesh pada November lalu.

Dalam satu kenyataan lain, jurucakap kerajaan Myanmar, Zaw Htay memberitahu kawasan 'tanah tidak bertuan' terletak di tepi sungai menandakan sempadan antarabangsa itu adalah sebahagian daripada wilayah Myanmar.

Menurutnya, berdasarkan peraturan ditetapkan, golongan tersebut tidak boleh berada di kawasan terletak dalam lingkungan 46 meter dari garisan sempadan. - Reuters