OREGON - AMERIKA SYARIKAT. Seorang remaja yang menyebabkan kebakaran hutan besar di Columbia River Gorge, Oregon diarahkan membayar pampasan AS$37 juta (RM147 juta) yang mungkin akan mengambil masa sekurang-kurangnya sedekad untuk diselesaikan menggunakan pelan pembayaran.

Februari lalu, remaja berusia 15 tahun dari Vancouver itu, mengaku mencampakkan mercun ke dalam Eagle Creek Canyon pada 2 September tahun lalu dan mengakibatkan kebakaran hutan yang berlarutan selama hampir tiga bulan yang memusnahkan beberapa kediaman.

Hakim Daerah Hood River John A Olson dalam keputusannya kelmarin menetapkan jumlah tersebut bagi membiayai kos bomba serta baikpulih kawasan serta kediaman penduduk.

Olson berkata, remaja itu boleh membuat pelan pembayaran dan bayaran boleh dihentikan selepas 10 tahun sekiranya remaja terbabit berjaya menamatkan tempoh percubaan selama lima tahun dan tidak melakukan jenayah lain.

Mahkamah turut menetapkan bayaran perlu dibuat oleh remaja itu sendiri dan bukan ibu bapanya yang berasal dari Ukraine.

Selain itu remaja tersebut turut diperintahkan menjalani 1,920 jam khidmat masyarakat bersama Khidmat Perhutanan Amerika Syarikat.

“Dia memang trauma dengan kejadian itu. Ia memang satu kesilapan," kata ibunya. - BBC