HARARE - ZIMBABWE. Rakyat Zimbabwe yang berhimpun di Harare dirakam memeluk anggota tentera tanda sokongan dan mengalu-alukan rampasan kuasa dilakukan pihak tentera.

Perhimpunan jalanan yang disokong oleh pihak tentera dan parti memerintah, Zanu-PF itu  juga menuntut presiden, Robert Mugabe meletak jawatan.

Angkatan tentera Zimbabwe (ZDF) mengeluarkan kenyataan sokongan terhadap himpunan rakyat Zimbabwe, hari ini.

"ZDF menasihatkan, selagi perhimpunan dilakukan dengan teratur dan aman, tanpa timbul unsur-unsur keganasan, (ZDF) menyokong penuh perhimpunan ini," kata kenyataan ZDF, semalam.

"Sebagai rakyat Zimbabwe, kami mahu ucapkan terima kasih banyak-banyak kepada angkatan tentera kerana merampas kuasa dengan aman," kata seorang peserta perhimpunan.

Foto sumber EPA

Menurutnya, peletakan jawatan Mugabe bermakna berakhirlah era pemerintahan autoritarian.

"Ini adalah satu revolusi. Revolusi yang ditunggu sejak sekian lama," kata seorang lagi peserta.

Veteran-veteran perang yang sebelum ini antara penyokong kuat Mugabe juga mahukan beliau meletak jawatan.

Pengerusi persatuan veteran perang, Christopher Mutsvangwa antara individu yang bertanggung jawab mengumpul peserta dikalangan veteran perang.

"Kami mahu kebanggaan kami ditebus semula, dan hari ini adalah harinya. Kami mahu habiskan apa yang pihak tentera mulakan.

"Tiada pilihan lain untuk Mugabe. Beliau harus pergi," kata Christopher.

Sementara itu, lapan dari 10 cawangan parti Zanu-PF mengundi untuk peletakan jawatan Mugabe sebagai presiden dan setiausaha parti.

Tidak cukup dengan itu, sebahagian pemimpin parti daerah muncul di kaca televisyen, menuntut peletakan jawatan Mugabe.

Mereka juga menggesa isteri Mugabe, Grace dilucutkan jawatan dari parti dan bekas Timbalan Presiden Zimbabwe yang dipecat, Emmerson Mnangagwa dilantik semula menjadi ahli jawatankuasa pusat parti.

Pemecatan Mnangagwa sebelum ini didakwa helah Mugabe untuk memberi laluan mudah kepada Grace untuk menjadi presiden Zimbabwe.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Isteri Mugabe mahu rampas jawatan presiden?]

Mugabe, 93, ketika ini berada dibawah perintah tahanan rumah sejak rampasan kuasa, Rabu lalu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tentera rampas kuasa, Zimbabwe kini bergolak]

Bagaimanapun, beliau muncul kali pertama di khalayak ramai semalam untuk menghadiri majlis graduasi sebuah universiti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mugabe muncul kali pertama selepas rampasan kuasa]
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :