MOSCOW - RUSIA . Presiden Rusia Vladimir Putin pada Rabu mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan presiden tahun depan dan penganalisis menyifatkan beliau mampu mencapai kemenangan dengan mudah, lapor agensi berita Xinhua.

"Saya akan menjadi calon untuk jawatan Presiden Rusia," kata Putin semasa pertemuan dengan pekerja kilang pembuatan kereta di bandar Nizhny Novgorod.

Walaupun jumlah calon yang berminat untuk bertanding semakin ramai, beliau dijangka menang besar pada pilihan raya yang dijadual pada 18 Mac 2018.

"Ia akan menjadi pungutan suara mengenai kepercayaan rakyat terhadap Vladimir Putin," kata Pengerusi Institut Strategi Kebangsaan, Mikhail Remizov.

Beliau berkata, yang akan menjadi isu utama ialah untuk menggalakkan minat rakyat terhadap pemilihan itu,  kerana "hasilnya sangat jelas kepada kedua-dua penyokong Putin dan lawannya," yang akan menimbulkan sikap acuh tak acuh dan tidak ambil peduli dalam kalangan pengundi.

Menurut Remizov, perhatian rakyat kini lebih tertumpu kepada agenda Putin dalam pilihan raya, keutamaannya dan rancangan masa depan.

Putin dipilih sebagai Presiden Rusia pada 2000 dan dipilih sekali lagi pada 2004. Dari 2008 hingga 2012, beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri.

Pada 2012, Putin dipilih semula sebagai Presiden. Pada masa itu, kadar sokongan terhadap Putin adalah sekitar 80 peratus, menurut tinjauan pendapat umum.

Setakat ini, pemimpin Parti  Liberal Demokrat Rusia, Vladimir Zhirinovsky, pengasas Parti Liberal Yabloko liberal, Grigory Yavlinsky dan ketua parti komunis Rusia, Maxim Suraikin secara rasmi menyuarakan hasrat untuk bertanding.

Turut menyatakan minat termasuk, penyampai televsiyen Ksenia Sobchak, ahli perniagaan Sergei Polonsky, serta penyanyi dan wartawan Ekaterina Gordon.- Bernama


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani undang-undang membenarkan tentera udara negaranya untuk terus kekal di Syria selama 49 tahun sebagai sebahagian protokol kepada perjanjian 2015 dengan kerajaan Damsyik.
  • MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin didakwa terlibat secara peribadi dalam usaha sulit Moscow untuk campur tangan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016 pada 8 November lalu.
  • MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) yang disifatkan paling sengit menerusi aplikasi Telegram.
  • MOSCOW - RUSIA. Presiden Rusia, Vladimir Putin menolak cadangan memulakan serangan udara terbaru di bandar Aleppo, dengan alasan memberi ruang kepada misi bantuan kemanusiaan.