BRUSSELS - BELGIUM.  Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, hari ini berkata, beliau melihat rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin sebagai 'pesaing' dan bukan 'musuh' beberapa hari sebelum jutawan hartanah terbabit bertemu pemimpin tersebut dalam sidang kemuncak peringkat tertinggi.

"Ada orang tanya, adakah dia (Putin) musuh? Tidak, beliau bukan musuh. Adakah dia rakan? Tidak, saya tidak mengenalinya secara rapat, namun hubungan kami baik selepas beberapa kali bertemu.

"Tetapi, beliau adalah sememangnya seorang pesaing. Putin mewakili Rusia dan saya mewakili AS. Saya berharap kami akan menjadi kawan pada satu hari nanti," ujarnya.

Menurut Trump, beliau akan berbincang tentang perang saudara di Syria, konflik di Ukraine dan tuduhan yang mendakwa Rusia campur tangan dalam Pilihan Raya Presiden AS 2016.

"Apa yang saya boleh buat adalah bertanya adakah beliau melakukan tindakan itu (campur tangan dalam pilihan raya)? Jangan buat lagi. Beliau mungkin akan menafikan perkara itu," tambahnya ketika bertemu wartawan di luar sidang media Sidang Kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Brussels.

Difahamkan, Trump juga akan berbincang tentang latihan ketenteraan Nato berhampiran sempadan Rusia di Laut Baltik yang dianggap sebagai tindakan provokatif oleh Moscow.

Ketika ini, negara Eropah sangat terdesak untuk memastikan AS mengekalkan komitmen ketenteraannya untuk terus mempertahankan benua terbabit di bawah pakatan tentera Nato. - AFP