MIAMI - AMERIKA SYARIKAT. Tindakan seorang lelaki yang menyamar sebagai putera Arab Saudi dan memperdaya mangsa sehingga kerugian jutaan dolar akhirnya terbongkar selepas dia dilihat memakan daging babi ketika menghadiri satu mesyuarat.

Anthony Gignac, kelahiran Colombia yang menyasarkan pemaju hartanah yang kaya raya didakwa menggunakan identiti palsu, Sultan Khalid al-Saud ketika menerima hadiah bernilai kira-kira AS$50,000 (RM202,085) daripada pemilik hotel resort Fontainebleau di pantai Miami, Jeffrey Soffer.

Miami Herlad melaporkan Soffer sedang berunding dengan 'putera' itu dan pengklompot bersama berhubung perjanjian untuk membeli 30 peratus daripada hotelnya sebagai pertukaran dengan pelaburan bernilai AS$440 juta (RM1.7 bilion).

Sepanjang rundingan selama beberapa bulan itu, Gignac, 47, turut menetap di hotel terbabit dan memandu kereta mewah menggunakan nombor plat diplomatik di sekitar Miami.

"Dia membeli nombor plat itu daripada laman eBay," jelas laporan itu lagi.

Tahun lalu, Soffer turut diterbangkan dengan jet peribadi ke Aspen kononnya untuk berbincang tentang perjanjian itu yang mana beliau menerima hadiah gelang tangan jenama Cartier berharga puluhan ribu dolar daripada Gignac.

Penipuan 'putera' itu terbongkar selepas dia memakan daging babi walaupun ia diharamkan Islam dan Soffer yang curiga dengan perbuatannya bertindak melaporkan perkara tersebut kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Gignac ditahan ketika dalam perjalanan dari London ke New York dengan pasport menggunakan nama lain pada November tahun lalu.

Menurut pihak berkuasa, Soffer adalah salah seorang daripada 24 mangsa penipuan Gignac yang dilakukan selama lebih 20 tahun.

Lelaki terbabit turut mempamerkan kemewahannya termasuk percutian di hotel di Eropah dan barang kemas menerusi akaun Instagram miliknya.

Difahamkan, Gignac telah mengaku bersalah kerana menyamar sebagai pegawai kerajaan asing, mencuri identiti dan melakukan penipuan.

Dia kini ditahan di pusat tahanan Miami sementara menunggu hukumannya pada bulan depan. - RT