LONDON - BRITAIN. Sebuah bungkusan mengandungi serbuk putih misteri dan mesej berunsur perkauman yang dihantar kepada Putera Harry dan tunangnya, Meghan Markle telah disiasat sebagai jenayah kebencian, menurut polis Britain, kelmarin.

Pegawai Perintah Antikeganasan Polis Metropolitan turut dipanggil selepas pakej itu diterima di Istana St James di tengah London pada 12 Februari lalu.

“Bahan itu telah diuji dan disahkan sebagai tidak mencurigakan. Siasatan masih diteruskan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini,” kata jurucakap polis.

Menurutnya lagi, pihak berkuasa juga sedang menyiasat mesej yang ada kaitan dengan bungkusan itu dan dianggap sebagai jenayah kebencian.

Sementara itu, akhbar The Evening Standard melaporkan polis juga sedang melakukan siasatan lanjut sama ada insiden itu ada kaitan dengan pakej mengandungi serbuk putih dihantar ke Parlimen Britain pada 13 Februari lalu. - AFP