BRATISLAVA - SLOVAKIA. Presiden Slovakia,  Andrej Kiska akan melantik kabinet baharu Perdana Menteri Peter Pellegrini pada Khamis, lapor agensi berita China Xinhua pada Rabu.

"Saya tidak begitu berpuas hati dengan nama-nama yang menerajui beberapa kementerian namun sebagai ketua negara, saya tidak akan melangkaui garisan yang telah ditetapkan oleh perlembagaan," katanya.

Kabinet baharu Slovakia membabitkan Timbalan Perdana Menteri Richard Rasi (Menteri Pelaburan) Tomas Drucker (Menteri Dalam Negeri),  Andrea Kalavska (Menteri Kesihatan), Lubica Lassakova (Menteri Kebudayaan) dan Gabor Gal (Menteri Kehakiman).

Pellegrini telah dilantik sebagai Perdana Menteri Slovakia bagi menggantikan Robert Fico yang meletak jawatan susulan pembunuhan wartawan penyiasatan Jan Kuciak dan tunangnya, Martina Kusnirova pada 26 Feb.

Menteri Kebudayaan Marek Madaric dan Menteri Dalam Negeri Robert Kalinak turut melepaskan jawatan masing-masing susulan pembunuhan berganda itu, yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di jalanan. - Bernama