BANGKOK - THAILAND. Seorang sami Buddha yang terkenal kerana memuat naik kenyataan anti-Islam secara online ditahan oleh polis Bahagian Pembanterasan Jenayah (CSD) di Songkla dan dibawa ke Bangkok di mana beliau menarik balik kenyataan itu “secara sukarela”.

Apichat Punnajanatho, ditahan di sebuah kuil di wilayah selatan pada Selasa dan dibawa ke ibu negara semalam.

Timbalan Perdana Menteri, Jen Prawit Wongsuwan yang menyelia keselamatan dalam negeri mengesahkan penangkapan sami Buddha itu ketika ditanya mengenai perkara itu oleh media hari ini dan berkata perilaku Apichat sebelum ini begitu mengancam.

"Perilaku bekas sami itu, Apichat merupakan satu ancaman kepada keselamatan agama. Anda akan tahu jika anda mendengar klip videonya," katanya sambil menambah sami itu tidak ditahan di dalam kem tentera memandangkan penangkapannya dibuat oleh polis.

Prawit yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau dimaklumkan bahawa sami itu meninggalkan amalan sami itu secara sukarela.

Apichat mendapat perhatian kerana kegiatan anti-Islam termasuk di mana dia mencadangkan sebuah masjid dibakar setiap kali seorang sami Buddha dibunuh oleh militan di selatan Thailand. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.