TERDAPAT sesuatu yang menarik pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kali ini, apabila Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, 38, membawa puterinya yang baharu berusia tiga bulan ke Bilik Mesyuarat Perhimpunan Agung PBB ke-73.

Dalam laporan HuffPost, Ardern muncul bersama anak perempuannya pada Isnin lalu waktu tempatan.

Sebelum memberi ucapan pada pertemuan Sidang Kemuncak Keamanan Nelson Mandela,  Ardern juga sempat meluangkan masa untuk bermain dengan bayi perempuannya itu, Neve Te Aroha Ardern Hayford.

Aksi Ardern itu, menjadikannya dia wanita pertama dalam sejarah membawa bayi ke Perhimpunan Agung PBB.

Sebelum ini, suami Ardern, Clarke Gayford memuat naik kad ID biru dengan gambar seorang bayi di Twitter.

Ardern melahirkan Neve di Hospital Auckland pada 21 Jun, dan kembali bekerja pada awal Ogos selepas mengambil cuti bersalin selama enam minggu.