• Setem pasti menjadi koleksi berharga jika kiriman surat tidak wujud lagi pada masa hadapan. Setem pasti menjadi koleksi berharga jika kiriman surat tidak wujud lagi pada masa hadapan.
  • Lahmert masih menghantar kiriman surat dan bungkusan ke Otaki walaupun perkhidmatan itu semakin kurang mendapat sambutan. Foto: AP Lahmert masih menghantar kiriman surat dan bungkusan ke Otaki walaupun perkhidmatan itu semakin kurang mendapat sambutan. Foto: AP
  • Generasi muda kini lebih suka menggunakan teknologi di hujung jari untuk menyampaikan maklumat atau mesej. Generasi muda kini lebih suka menggunakan teknologi di hujung jari untuk menyampaikan maklumat atau mesej.
1 /

OTAKI - Sandra Vidulich, seorang penduduk luar bandar di New Zealand sangat teruja menerima bungkusan kasut but kulit yang dihantar menerusi kiriman pos walaupun perkhidmatan itu hanya menjadi menjadi pilihan utama segelintir masyarakat pada masa ini berikutan kewujudan teknologi di hujung jari seperti emel yang boleh menghantar mesej lebih cepat berbanding surat.

Tanpa kita sedari amalan membeli-belah secara dalam talian sebenarnya telah menjadi penyumbang utama membantu perkhidmatan itu untuk kekal beroperasi di seluruh negara maju hingga kini.

Kiriman surat dilaporkan turun secara mendadak dan penghantaran bungkusan tidak mampu untuk menyelamatkan perkhidmatan pos tersebut.

Perkhidmatan Royal Mail di Britain yang telah beroperasi sejak pemerintahan Raja Henry VIII, kira-kira 500 tahun lalu bakal gulung tikar berikutan kiriman pos tidak lagi mendapat sambutan di negara tersebut.

Selain itu, Perkhidmatan Pos di Amerika Syarikat (USPS) turut membuat pengumuman tergempar berhubung rancangan mereka untuk menghentikan penghantaran surat pada setiap hari Sabtu.

New Zealand juga mengambil langkah serupa yang lebih drastik iaitu hanya membuat penghantaran untuk tiga hari berbanding enam hari dalam seminggu.

Laporan tahunan USPS menunjukkan, hasil pendapatan syarikat itu pada tahun lalu merosot kepada AS$65 juta (RM202 juta) dan kerugian mencecah AS$15.9 juta (RM49.3 juta).

Tahun lalu, mereka hanya menghantar 160 bilion surat berbanding 212 bilion kiriman pada tahun 2007.

Akibat daripada situasi itu, USPS juga terpaksa mengurangkan tenaga kerja mereka kepada 156,000 orang(23 peratus).

Kebanyakan negara lain di Eropah juga menerima nasib sama, sebagai contoh perkhidmatan La Poste di Perancis turut meramalkan mereka hanya akan membuat 30 peratus penghantaran surat menjelang 2015 berbanding  jumlah yang dikendalikan pada tahun 2008.

Negara di Asia seperti Jepun pula melaporkan berlaku pengurangan ketara sebanyak 13 peratus melibatkan kiriman surat berbanding empat tahun lalu.

Menurut laporan Kesatuan Pos Sedunia (UPU) yang dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) jumlah kiriman surat di seluruh dunia telah menurun hampir empat peratus dan sebanyak lima peratus pejabat pos di negara maju terpaksa ditutup pada tahun 2011.

Difahamkan, walaupun amalan membeli-belah di Internet dianggap 'penyelamat', perkhidmatan kiriman pos pula terpaksa bersaing dengan syarikat penghantaran bungkusan syarikat swasta seperti FedEx.

Ketua Pos Besar USPS, Patrick Donahoe, beliau menegaskan ia sememangnya satu perkara mustahil untuk memulihkan perkhidmatan penghantaran surat yang kurang mendapat sambutan dengan kiriman bungkusan.

Keputusan USPS untuk mengehadkan penghantaran kepada enam hari dalam tempoh seminggu itu juga didakwa dapat menjimatkan kos berjumlah AS$2 bilion (RM6.2 bilion) setahun.

"Perkhidmatan kiriman pos ini tidak akan lenyap ditelan perkembangan zaman walaupun pelbagai teknologi dicipta pada masa ini," katanya.

Sementara itu, John Lahmert, 72, seorang posmen di New Zealand yang ditugaskan untuk menghantar surat di Otaki, North Island selama 18 tahun menganggap kerjayanya itu lebih mendekatkan beliau dengan masyarakat.

"Saya berasa seronok kerana dapat menyapa mereka tetapi dunia kini telah berubah kerana hanya segelintir orang yang masih bergantung kepada perkhidmatan pos," menurutnya.

Walaupun di kebanyakan negara, kiriman pos tidak lagi menjadi pilihan, namun di negara membangun seperti China, penghantaran surat dilaporkan meningkat sehingga 56 peratus sejak 2007.

Jika dilihat keadaan pada masa ini, bagaimanakah nasib perkhidmatan pos di seluruh dunia menjelang 2020? Adakah ia akan lenyap atau sebaliknya? - AP