NEW DELHI - INDIA. Protes di seluruh India semalam bagi membantah kenaikan harga petrol dan diesel telah melumpuhkan aktiviti perniagaan, selain beberapa pejabat kerajaan dan sekolah terpaksa ditutup.

Manakala di sesetengah kawasan, penunjuk perasaan bertindak menghalang laluan kereta api selain melakukan vandalisme terhadap kenderaan awam.

Lapor media tempatan, di beberapa negeri tunjuk perasaan yang pada mulanya diadakan secara aman bertukar ganas.

Imej di televisyen menunjukkan perusuh merosakkan kereta dan bas di Patna.

Malah, di Gujarat iaitu negeri asal Perdana Menteri, Narendra Modi, menyaksikan perusuh membakar tayar sambil melaungkan slogan anti-kerajaan.

Parti pembangkang turut menggunakan kesempatan itu untuk menyerang pentadbiran Modi, ketika pilihan raya umum bakal berlangsung sembilan bulan dari sekarang.

Cukai ke atas petrol dan diesel yang mencakupi lebih satu pertiga daripada harga jualan runcit produk petroleum, adalah sumber pendapatan terbesar bagi kerajaan dan salah satu isu yang paling emotif bagi pengundi.  - Reuters