BRUSSELS - BELGIUM . Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kelmarin cuba meraih sokongan sekutunya di Eropah bagi keputusan kontroversi Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya pada Rabu lalu.

Usaha itu bagaimanapun sia-sia selepas ia menerima penolakan tegas daripada Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini dan para menteri luar blok terbabit yang menganggap keputusan itu sebagai tamparan hebat kepada proses damai di Timur Tengah.

Terdahulu, ketika kunjungan pertama ke ibu pejabat EU di Brussels, Netanyahu memaklumkan langkah Trump itu kononnya akan membantu keamanan.

"Memperakui realiti adalah asas dan inti perdamaian," katanya.

Israel yang menduduki Baitulmaqdis selepas merampasnya dalam Perang Enam Hari 1967 sering kali menganggap kota lama itu sebagai ibu negaranya, manakala Palestin berhasrat untuk menjadikan bandar tersebut sebagai ibu negara mereka pada masa hadapan.

Pentadbiran Trump yang berdepan kecaman banyak pihak sejak minggu lalu memberitahu mereka masih komited dengan proses damai dan keputusan mereka tidak akan memberi kesan kepada status atau masa depan sempadan Baitulmaqdis Timur.

Jelas Rumah Putih, sebarang perjanjian damai pada masa depan akan meletakkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan dasar lama perlu dihapuskan kononnya untuk menghidupkan semula proses damai yang tertangguh sejak 2014.  

 

Berisiko jejaskan kestabilan

Timur Tengah

Sekutu rapat Israel di Eropah bagaimanapun menolak logik itu dan menyatakan sebarang keputusan secara unilateral untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel berisiko mencetuskan keganasan dan memburukkan peluang keamanan.

Selepas mesyuarat tertutup bersama Netanyahu dan para menteri luar EU, diplomat kanan Sweden menegaskan, tiada anggota EU menzahirkan sokongan terhadap keputusan Trump dan tiada negara akan mengikut rancangan Washington untuk memindahkan kedutaan mereka dari Tel Aviv.    

"Ia mungkin sukar untuk negara lain berbuat demikian dan tidak mungkin anggota EU akan melakukan tindakan sama," kata Menteri Hal Ehwal Luar Sweden, Margot Wallstrom.

Kementerian Luar Republik Czech yang pada mulanya mempertimbangkan untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis turut menukar pendirian dengan menyatakan Prague hanya menerima kedaulatan Israel di kawasan Baitulmaqdis Barat.

"Saya yakin adalah sangat mustahil untuk meredakan ketegangan dengan penyelesaian secara sebelah pihak. Kita bercakap tentang negara Israel dan pada masa yang sama tentang negara Palestin," kata Menteri Luar Republik Czech, Lubomir Zaoralek.

Hungary dalam satu kenyataan juga menjelaskan pendirian mereka terhadap penyelesaian dua negara di Timur Tengah masih tidak berubah.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut bertemu dengan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi dan dijadualkan terbang ke Turki untuk menyertai mesyuarat bersama negara Islam pada minggu ini.

"Langkah memindahkan Kedutaan Israel ke Baitulmaqdis akan memberi kesan bahaya kepada keamanan dan keselamatan di rantau Arab," katanya.

Rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin juga sependapat dengan al-Sisi menolak keputusan Trump yang didakwa boleh menjejaskan kestabilan Timur Tengah dan menggesa rundingan damai Israel-Palestin disambung semula.

"Pengiktirafan itu boleh menggagalkan usaha damai," katanya selepas mesyuarat bersama Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Ankara.  

Difahamkan, keputusan unilateral Trump itu bakal memberi kesan kepada hubungan diplomatik dengan sekutu utama negara Islam, Arab Saudi yang mana bekas Duta Riyadh ke AS, Putera Turki al-Faisal turut menzahirkan bantahan kerasnya terhadap langkah itu menerusi surat terbuka kepada jutawan hartanah terbabit.  - Agensi