COX’S BAZAR - BANGLADESH. Pelan kerajaan Bangladesh bagi menangani krisis pelarian Rohingya akan ditangguh sehingga tahun depan.

Menurut seorang pegawai atasan Bangladesh, usaha penghantaran pulang dan program penempatan semula akan digerakkan selepas pilihan raya umum negara itu, akhir Disember ini.

Pesuruhjaya bagi penghantaran pulang dan bantuan pelarian Bangladesh, Abul Kalam berkata, pelan baharu perlu dirancang selepas pelarian Rohingya enggan pulang ke Rakhine.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penghantaran pulang pelarian Rohingya batal]

Misi penghantaran pulang kumpulan pertama membabitkan 2,200 pelarian yang dijadualkan pada 15 November lalu, terhenti selepas berlaku bantahan besar-besaran di kem pelarian.

Tiada pelarian Rohingya dalam senarai penghantaran berkenaan bersetuju untuk pulang kecuali tuntutan mereka untuk mendapatkan keadilan, kerakyatan dan jaminan untuk pulang secara selamat ke kampung halaman masing-masing dipenuhi. - Reuters