JAKARTA - Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR), Basuki Hadimuljono berkata, pembinaan semula rumah yang musnah akibat gempa di Nusa Tenggara Barat (NTB) tidak hanya dilakukan kontraktor, namun turut dilakukan sendiri oleh masyarakat setempat secara gotong-royong.

Pembinaan semula rumah mangsa dilakukan secara gotong-royong atau dikenali dengan nama projek Rekompak (Rehabilatasi dan Rekonstruksi Masyarakat berdasarkan Komuniti).

Dalam satu kenyataan rasmi, Basuki berkata, masyarakat setempat akan diberi bantuan sokongan dlam usaha membina semula kediaman dengan teknologi tahan gempa.

Pihak PUPR turut menye­diakan pasukan sokongan terdiri daripada anggota polis dan tentera, sukarelawan serta fasilitator bagi membantu mereka menyiapkan rumah.

Sejumlah 400 jurutera muda pula dikerah memantau pembinaan semula rumah mangsa gempa, malah kerajaan juga telah menyalurkan dana yang diperlukan bagi memulakan projek.

"Masyarakat setempat tidak hanya menjadi penonton, sebaliknya mereka bersama-sama dalam membina semula kediaman dan mampu menyiapkannya lebih cepat daripada kontraktor," kata Basuki ketika hadir ke mesyuarat menangani gempa di Jakarta yang dipengerusi wakil ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Fachri Hamzah.

Menurut rekod, sejumlah 32, 991 unit rumah telah dikenal pasti rosak teruk, 20,546 unit rumah di Lombok sementara 2,477 unit lagi terletak di Pulau Sumbawa.

PUPR turut mendapat bantuan kerajaan bagi mendapatkan bekalan bahan binaan dengan harga berpatutan dari kawasan sekitar agar projek pembinaan semula rumah dapat dilakukan dengan segera.

Dalam pada itu, sebagai persiapan menghadapi musim hujan, PUPR dan Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) akan menyediakan khemah perlindungan sementara menunggu rumah mereka siap. - antaranews