GAZA CITY - PALESTIN. Penduduk Gaza berkumpul di luar rumah pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh semalam bagi meraikan peletakan jawatan Menteri Pertahanan Israel Avigdor Lieberman.

"Pengunduran Lieberman adalah tanda kekalahan Israel terhadap kebangkitan Palestin," laung penduduk yang menyertai perhimpunan tersebut.

Lieberman yang menyokong penuh tindakan ketenteraan keras terhadap Hamas, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai protes terhadap perjanjian gencatan senjata dimeterai Selasa lalu yang mengakhiri pertelingkahan terburuk antara Israel dan Palestin sejak 2014.

Lieberman turut mengumumkan bahawa parti pimpinannya akan menghentikan sokongan terhadap gabungan pimpinan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menyebabkan peneraju utama Israel itu hanya memiliki kelebihan majoriti satu kerusi di parlimen.

Pilihan raya tidak akan berlaku sehingga November 2019, tetapi peletakan jawatan Lieberman meningkatkan kemungkinan ia bakal diadakan lebih awal.

Sumber dari parti Likud pimpinan Netanyahu menafikan kemungkinan pilihan raya diadakan lebih awal dan menegaskan, ketua mereka akan mengambil alih portfolio Lieberman buat sementara waktu.

“Tiada keperluan untuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan keselamatan negara agak sensitif seperti sekarang,” katanya yang enggan dikenali.

Sementara itu, tentera Israel mencabuli gencatan senjata pada hari pertama pelaksanaannya apabila menembak mati seorang nelayan di Gaza. - Press TV