HULU TERENGGANU - Penderitaan seorang ibu tunggal dari Kampung Landas, Ajil dekat sini yang terpaksa menjaga ibunya yang lumpuh sejak hampir setahun lalu hari ini mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib.

Norazim Ismail, 36, menyifatkan kunjungan Ghazali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri Terengganu sedikit sebanyak mengubat kesedihan dan keperitan hidup mereka sekeluarga.

Norazim yang menjaga ibunya, Siti Rahmah Musa, 72, yang terlantar sakit akibat lumpuh hampir setahun lalu, terpaksa menggalas tugas mencari rezeki dengan bekerja membasuh pinggan di sekolah berasrama dengan gaji harian RM10 sehari dan ia menyebabkan beliau buntu untuk memastikan keperluan harian mereka empat beranak mencukupi.

"Saya boleh bekerja pada sebelah malam sahaja kerana sebelah siang, perlu menguruskan keperluan ibu yang kini hanya terlantar di atas katil... risau sahaja kalau nak tinggalkan dia bersendirian.

"Dengan gaji saya yang tak sampai RM300 sebulan, memang tak cukup untuk membeli keperluan ibu dan anak-anak, mujurlah dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk ibu sebanyak RM200 dan saya sebagai penjaga, sebanyak RM300," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, Ghazali berjanji akan memastikan Norazim mendapat pekerjaan yang sesuai selain memastikan ibunya menerima rawatan perubatan dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah seorang doktor perubatan yang melakukan pemeriksaan terhadap ibu Norazimah dan memastikan rawatan susulan diberikan kepada wanita malang itu.

"Kita akan pastikan warga emas ini diberi bantuan perubatan mengikut keperluan semasa dan keluarga daif ini akan dibantu dari segi keperluan asas mereka, pekerjaan yang sesuai dan jika perlu, saya akan memohon dana dari Tabung Dana Perubatan Sosial," katanya.

Kunjungan dan keprihatinan pemimpin tempatan itu yang baru dilantik sebagai Adun selepas Pilihan Raya Umum ke-13 lalu menguatkan lagi semangat Norazim untuk menjaga ibunya serta memastikan kedua-dua anaknya dapat meneruskan persekolahan dengan selesa demi masa depan yang lebih baik. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Wanita yang tinggal di rumah dipenuhi sampah dan uzur bersama lima anaknya di Kampung Paloh, Pintu Geng, di sini menghilangkan diri selepas kisahnya didedahkan kepada umum.
  • KOTA KINABALU - Polis merampas 1,006.22 gram dadah jenis syabu dengan nilai pasaran kira-kira RM70,000 selepas menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pondo, Pulau Gaya Isnin lepas.
  • JOHOR BAHRU - Akibat tersilap langkah, seorang ibu tunggal akhirnya menanggung hutang lebih RM14,000 dengan keluarga terdekat selepas diperdaya sindiket pinjaman wang.
  • SKUDAI - “Susah macam mana pun, saya mahu kesemua anak saya berjaya menamatkan persekolahan mereka dan memperoleh masa depan yang cerah,” ujar Siti Fazilah Mohd Yatim, 36.
  • BESUT - Seorang ibu tunggal beranak tiga ditangkap bersama seorang lelaki sedang lalok dadah di sebuah rumah kosong dipenuhi sampah sarap di Kampung Sentosa, dekat sini pagi semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.