PERTUBUHAN Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) semalam memberi amaran, aksi ‘genosid dan pembersihan etnik’ ke atas minoriti Islam Rohingya mungkin menyemarakkan lagi konflik berasaskan agama melangkaui sempadan.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB (UNHCR), Zeid Ra’ad Al Hussein berkata, Myanmar berdepan krisis amat serius yang berpotensi memberi kesan buruk ke atas keselamatan di rantau berkenaan.

Kenyataannya diikuti penerbitan satu laporan minggu lalu mengenai penemuan kubur besar Rohingya di negeri dilanda krisis Rakhine, di mana tentera kerajaan dituduh telah melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas minoriti terbabit.

Untuk rekod hampir 700,000 Rohingya telah lari ke Bangladesh sejak Ogos lalu.

Myanmar menafikan laporan kubur besar itu dan dakwaan meluas pelanggaran hak asasi, mendakwa ia melancarkan satu tindakan keras wajar ke atas pemberontak Rohingya.

Namun kerajaan negara itu menyekat media dan penyiasat PBB daripada mengakses secara bebas zon konflik serta menyiasat dakwaan pelarian berhubung tindakan genosid.

Myanmar nafi laporan AP

Pihak berkuasa Myanmar kelmarin menafikan laporan terdapat lima kubur besar etnik Rohingya di barat negeri Rakhine.

Askar Myanmar dituduh melakukan kempen pembersihan etnik terhadap Rohingya, dengan hampir 700,000 melarikan diri ke Bangladesh sejak Ogos.

Myanmar menafikan tuduhan itu, berkata ia melancarkan tindakan kekerasan terhadap pemberontak Rohingya, tetapi menghalang wartawan dan penyiasat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu daripada masuk ke zon konflik secara bebas.

Pada Sabtu, media kerajaan melaporkan pihak berkuasa Rakhine menafikan siasatan AP baru-baru ini yang menyatakan keterangan daripada pelarian Rohingya dan rakaman video daripada telefon bimbit mendedahkan kewujudan lima kubur besar yang tidak dilaporkan selama ini di kampung Gu Dar Pyin di Rakhine.

Selepas pemeriksaan dibuat di kampung itu, sepasukan pegawai kerajaan, polis dan penduduk tempatan menafikan laporan AP itu, lapor Global New Light of Myanmar.

“Penduduk kampung mengulangi kenyataan itu bahawa mereka tidak pernah dengar tentang pembunuhan besar-besaran berhampiran kampung mereka,” katanya.

Yangon setakat ini mengakui hanya terdapat satu kubur besar di Rakhine yang mengandungi mayat 'pengganas'Rohingya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata, berlaku pertempuran berdarah antara pasukan keselamatan dengan pihak militan Rohingya di kampung berkenaan pada 28 Ogos, beberapa hari selepas tindakan keras ketenteraan dilancarkan.

Seramai 19 'pengganas' terbunuh dalam pertempuran itu dan dikebumikan, menurut laporan itu, yang tidak menjelaskan secara lanjut lokasi kuburnya.

Jurucakap kerajaan Myanmar pada masa ini tidak dapat dihubungi.

Myanmar sekeras-kerasnya menafikan sebarang salah laku dalam kekerasan terhadap penduduk Rakhine, walaupun berpuluh keterangan daripada pelarian menggambarkan bahawa pasukan keselamatan telah membunuh orang awam, melakukan rogol besar-besaran dan membakar perkampungan Rohingya sehingga hangus.

‘Yangon cuba sembunyikan kebenaran’

Diplomat veteran Amerika Syarikat (AS), Bill Richardson menuduh panel antarabangsa yang ditubuhkan oleh Myanmar untuk memberi nasihat mengenai krisis Rohingya sebagai tidak telus.

Beliau menuduh panel itu menutup keburukan pemerintah dan menuduh pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi tiada kepimpinan moral.

Susulan itu, Richardson yang merupakan bekas anggota Kabinet pentadbiran Presiden Bill Clinton bertidak meninggalkan panel tersebut, ketika panel penasihat 10 anggota itu melakukan lawatan pertama ke negeri Rakhine, barat Myanmar di mana hampir 700,000 etnik Islam Rohingya melarikan diri sejak beberapa bulan lalu.

“Punca utama saya meletakkan jawatan ialah kerana majlis penasihat ini menutup kesalahan yang berlaku.

"Dan saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada ‘kumpulan sorak’ untuk pemerintah Myanmar,” katanya.