SYDNEY - AUSTRALIA.  Seorang pemuda digelar bodoh kerana  berenang dengan seekor jerung di pesisir pantai Sydney pada Ahad lalu.

Tindakan gila Jai Kiggins itu dirakam adiknya Kurt, semasa mereka berenang di Pantai Wattamolla.

Kedua-dua mereka ke pantai tersebut selepas diberitahu penduduk tempatan bahawa terdapat beberapa ekor jerung sedang memakan bangkai ikan paus.

"Ia pengalaman sekali seumur hidup dan bukan tindakan yang bijak.

"Tapi jika anda ada keberanian, mengapa tidak," katanya.

Sementara itu, jurucakap Pejabat Alam Sekitar dan Warisan New South Wales, Shaun Elwood berkata tiada siapa yang kagum dengan aksi bodoh pemuda terbabit.

"Saya nasihatkan orang awam supaya tidak mengikut jejak mereka. Ia bukan sahaja tindakan yang bodoh, malah membahayakan keselamatan diri," ujarnya. - 9news