MELBOURNE - AUSTRALIA. Pembuat filem Australia yang mendapat pengampunan Raja Kemboja selepas dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana dituduh melakukan pengintipan ketika perhimpunan politik anjuran pembangkang, selamat tiba di Australia, semalam.

James Ricketson, 69, dibebaskan dari penjara Prey Sar, Phnom Penh Jumaat lalu, setelah mendapat pengampunan Raja Norodom Sihamoni.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pembuat filem Australia dipenjara enam tahun]

Ricketson ditahan pada Jun 2017, dan didapati bersalah bulan lalu kerana mengintip dan mengumpul maklumat yang dianggap boleh mengancam keselamatan Kemboja.

Bagaimanapun, pembuat filem yang sering mengunjungi Kemboja dalam tempoh dua dekad lalu bagi menerbitkan filem kemanusiaan berkisar kehidupan penduduk miskin negara itu, menafikan tuduhan berkenaan.

Sementara itu, Menteri luar Australia dan keluarga Ricketson berterima kasih kepada Raja Kemboja atas pembebasan tersebut. - Reuters