SHANGHAI - CHINA. Seorang pembantu rumah yang disabit bersalah membakar rumah majikannya dalam kejadian Jun 2017 selesai menjalani hukuman mati, hari ini.

Menurut pejabat pendakwa wilayah Zhejiang, pelaksanaan hukuman mati ke atas Mo Huanjing, 35, mendapat kelulusan Mahkamah Tinggi China.

Dalam kejadian di timur Hanzhou itu, Huanjing cuba bertindak wira apabila memulakan kebakaran di rumah majikannya, Lin Shengbin dalam usaha mendapatkan ganjaran wang untuk menyelesaikan hutangnya.

Namun, ia bertukar tragedi apabila kebakaran merebak dan tidak terkawal menyebabkan isteri dan anak majikannya terkorban.

"Akhirnya wanita iblis itu sudah dihukum mati. Kami telah menanti terlalu lama untuk hari ini tiba," kata Shengbin.

Huanjing sebelum ini mengaku memulakan kebakaran di ruang tamu rumah majikannya di tingkat 18 sebuah apartmen dan merancang memadamkan secepat mungkin kononnya mahu dianggap wira bagi memperoleh wang daripada mangsa.

Malangnya sebelum sempat berbuat demikian, api merebak dengan cepat menyebabkan isteri Shengbin, Zhu Xiaozhen, 34, bersama tiga anaknya berusia enam, sembilan dan 11 tahun terkorban akibat sesak nafas.

Huanjing bagaimanapun terselamat kerana melarikan diri apabila kebakaran tidak dapat dikawal.

Sementara itu, Shengbin akan meneruskan kes sivil ke atas ‘pihak lain’ yang didakwanya mempunyai kaitan dengan kejadian itu.

Sebelum ini, dia pernah menyalahkan pemaju kompleks apartmen terbabit, Greentown, menyumbang kepada kelewatan mengawal kebakaran berikutan kekurangan langkah keselamatan.

Jabatan bomba tahun lalu menafikan tuduhan yang mengatakan mereka lambat bertindak sebaliknya menyalahkan tekanan air rendah dan kurangnya ciri keselamatan kebakaran yang diperlukan di dalam bangunan. - AFP