LOS ANGELES - AMERIKA SYARIKAT. Peguam Donald Trump mendakwa, aktres lucah Stormy Daniels boleh disaman sehingga AS$20 juta (RM78.18 juta) kerana melanggar perjanjian tidak didedahkan untuk merahsiakan hubungannya dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu, menurut dokumen difailkan mahkamah semalam.

Seorang peguam syarikat perunding, Essential Consultants milik Michael Cohen, yang membayar Daniels sebanyak AS$130,000 (RM508,169.81) mengikut perjanjian itu, membuat pemfailan berkenaan yang mendakwa, Daniels melanggar perjanjian sekurang-kurangnya 20 kali.

“Perjanjian Penyelesaian membenarkan ganti rugi kerosakan sebanyak satu juta dolar (RM3.91 juta) bagi setiap pelanggaran,” kata dokumen difailkan di mahkamah itu.

Daniels menandatangani perjanjian untuk merahsiakan hubungannya dengan Trump sebelum pilihan raya 2016, menjurus tuduhan bayaran itu bersamaan sumbangan haram kepada kempen presiden.

Peguam Michael Avenatti memfailkan tuntutan bagi pihak Daniels awal bulan ini menuntut mengetepikan perjanjian sulit itu.

Tuntutan itu mendakwa, Daniles memulakan ‘hubungan intim’ dengan Trump pada musim panas 2006 yang berterusan sehingga 2007.

Rumah Putih menafikan sebarang hubungan seksual antara Trump dan Daniels.

Daniels sebelum ini menawarkan untuk memulangkan AS$130,000 yang diterimanya supaya beliau boleh ‘bercakap secara terbuka dan bebas mengenai hubungannya dengan Trump dan cubaan mendiamkannya.’

Aktres itu juga meminta dibenarkan mendedahkan mesej teks, gambar dan video berkaitan Trump, kata Avenatti dalam sepucuk surat kepada Cohen.

Ketika kempen Presiden, satu pita video muncul mengenai Trump berbangga beliau boleh sewenang-wenangnya mencabul wanita tanpa didakwa.

Beberapa wanita menuduh pemimpin berusia 71 tahun itu melakukan salah laku seksual.

Trump menafikan semua tuduhan sebagai pembohongan dan malah mendakwa, ulasan pita itu dipalsukan. - AFP