PERCUTIAN pasangan kekasih ini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila menyedari dirakam secara sembunyi di kediaman yang disewa mereka.

Dougie Hamilton, 34, dari Glasgow, Scotland berkata, kediaman yang disewa menerusi Airbnb di Toronto itu pada mulanya seperti kediaman biasa sahaja.

Namun, dia menyedari terdapat sesuatu yang pelik apabila jam yang terdapat di dalam rumah itu bersambung dengan satu wayar misteri.

Telahan itu ternyata benar apabila sebuah kamera disembunyikan di dalam jam berkenaan.

Pemilik kediaman itu dikatakan memiliki enam lagi unit Airbnb yang disewakan secara meluas kepada orang ramai.

Hasil aduan tersebut, pemilik berkenaan kini dibuang serta merta daripada perkhidmatan Airbnb.

"Kami telah menyingkir pemilik tersebut dari platform kami.

"Siasatan sedang dijalankan dan kami memberi sokongan penuh kepada pengadu," ujar jurucakap Airbnb, Lindsey Scully.

Katanya lagi, hal ehwal privasi pelanggan merupakan isu yang seiurs dan mereka tidak akan berkompromi mengenai kejadian tersebut.

Pihak polis Toronto turut mengesahkan sedang melakukan siasatan berhubung aduan tersebut.

Sementara itu, Hamilton berkata, dia dan teman wanitanya baru sahaja pulang dari bersiar-siar di sekitar bandar sebelum menyedari jam aneh tersebut.

"Kami sangat sibuk pada hari itu, keluar berjalan-jalan. Jadi kami pulang ke kediaman sewa untuk berehat.

"Sewaktu memandang jam itu, saya rasa pelik sebelum menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya tak tahu jika pemilik kediaman memerhatikan kami, saya rasa seram dan tak mahu menginap di situ," ujarnya.

Tambah pemuda itu, jam kamera berkenaan dihadapkan ke arah ruang tamu dan bilik tidur sekaligus membolehkan pengendalinya menyaksikan segala aktiviti Hamilton dan kekasihnya sepanjang mereka berada di kediaman itu. - mStar.