COLOMBO - SRI LANKA. Parlimen Sri Lanka terus kecoh apabila ahli dewan yang menyokong Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa bertindak membaling serbuk cili ke arah pembangkang dan kerusi kepada polis ketika ia meluluskan satu lagi usul tidak percaya menolak kerajaannya buat kali kedua minggu ini.

Ahli perundangan pro-Rajapaksa juga melemparkan objek ke arah Speaker Parlimen, Karu Jayasuriya.

Di sebalik keganasan Jumaat lalu, mereka gagal menghalang Parlimen meluluskan usul tidak percaya menolak kerajaan pimpinan Rajapaksa buat kali kedua.

Ia adalah siri keganasan terbaharu susulan kemelut sejak tiga minggu lalu apabila Presiden Maithripala Sirisena, memecat Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, dan melantik Rajapaksa.

[ARTIKEL BERKAITAN: PM Sri Lanka sertai parti baharu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Parlimen Sri Lanka bersidang pilih PM]

Sesi Parlimen ditangguhkan selama lebih 30 minit apabila ahli perundangan mengadakan protes di sekeliling kerusi Speaker.

Mereka menggesa penangkapan segera ahli Parti Bersatu Kebangsaan (UNP) pimpinan Wickremesinghe, kerana membawa pisau masuk ke dalam Parlimen sehari sebelum itu.

Di tengah kekecohan Parlimen yang menyaksikan beberapa objek dibaling ke arah Speaker, lebih 24 anggota polis dikerah memasuki dewan untuk melindungi beliau.

Jayasuriya kemudian mengumumkan usul undian tidak percaya diluluskan dan Parlimen ditangguhkan sehingga 19 November ini. - Agensi