DALAM tempoh empat tahun selepas berkuasa, presiden yang juga wanita pertama Korea Selatan, Park Geun-hye dicemari skandal politik yang membawa kepada pemecatan beliau bulan lalu.

Sekitar hujung Oktober tahun lalu, siasatan terhadap Geun-hye bermula apabila media mendakwa beliau salah gunakan kuasa sebagai presiden dan membenarkan rakan lamanya Choi Soon-sil mencampuri urusan negara meskipun tidak punyai sebarang kedudukan rasmi.

Soon-sil, 60, dituduh memanipulasi hubungannya dengan presiden untuk keuntungan kewangan peribadi termasuk memaksa syarikat konglomerat menyumbang hampir AS$70 juta (RM315 juta) ke dalam yayasan yang dikendalikannya.

Selain itu, Geun-hye turut memberi kebenaran kepada Soon-sil untuk mengedit beberapa ucapan dasar selain dilaporkan sering berkomunikasi dengan kakitangan presiden bagi menyediakan input mengenai pelantikan bahagian politik.

Meskipun sudah mengaku salah dan memohon maaf secara terbuka, puluhan ribu rakyat negara itu tetap berang dan bantahan diadakan di seluruh negara bagi menggesa Geun-hye meletak jawatan.

Bagi menjernihkan keadaan, Geun-hye turut bersedia disoal siasat pihak pendakwa yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut walaupun ia bertentangan dengan Perlembagaan Korea Selatan yang tidak membenarkan presiden semasa untuk didakwa.

Selepas hampir dua bulan skandal politik Geun-hye menggemparkan negara, beliau akhirnya digantung kuasa selepas penggubal undang-undang mengundi dan undian mendapat 234 sokongan daripada 300 anggota Dewan Negara.

Selepas pemecatan Geun-hye, Mahkamah Perlembagaan di negara itu mempunyai tempoh enam bulan untuk memutuskan sama ada keputusan tersebut akan kekal atau tidak.

Pada tahun 2013 dan 2014, Geun-hye menduduki tempat ke-11 dalam senarai Forbes untuk 100 wanita paling berkuasa di dunia dan wanita paling berkuasa di Asia Timur.

Warisi legasi politik keluarga

Geun-hye dilahirkan pada 2 Februari 1952 di Samdeok-dong dan merupakan anak pertama kepada pasangan Park Chung-hee, presiden ketiga Korea Selatan yang berkhidmat antara tahun 1963 hingga 1979, dan Yuk Young-soo.

Setahun selepas kelahirannya, keluarganya berpindah ke Seoul dan beliau banyak menghabiskan masa remajanya di kediaman rasmi presiden, Rumah Biru.

Pada tahun 1974, Geun-hye menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dari Universiti Sogang dan menyambung pengajian di Universiti Sogang, Perancis.

Bagaimanapun, beliau pulang semula ke tanah air apabila ibunya dibunuh seorang lelaki bersenjata Korea Utara.

Geun-hye dianggap sebagai Wanita Pertama pada usia 22 tahun. Lima tahun kemudian, bapanya dibunuh ketua perisikan sendiri pada 26 Oktober 1979.

Dinamakan sebagai calon presiden

Selama empat penggal berturut-turut dari tahun 1998, beliau dipilih sebagaiwakil rakyat mewakili kawasan Dalseong di Daegu dan dilantik Naib Pengerusi Parti Kebangsaan Utama (GNP).

Dalam tempoh 2004 hingga 2006, beliau menjadi pengerusi parti sebanyak dua kali dan memainkan peranan penting dalam usaha pilihan raya yang menyaksikan parti itu menepis beberapa kemungkinan untuk menang dalam pilihan raya.

Pada 2006, parti pimpinannya menang majoriti dan media menggelar Geun-hye sebagai Ratu Pilihan Raya.

Setahun kemudian, beliau berharap untuk mencontohi kejayaan bapanya dengan menjadi calon presiden, namun kalah kepada Lee Myung-bak dengan perbezaan yang kecil.

Sebagai tindak balas kepada sokongan yang semakin berkurangan terhadap GNP, parti itu membentuk sebuah jawatankuasa kecemasan dan menukar nama parti kepada Parti Saenuri yang bermaksud Sempadan Baharu.

Pada 19 Disember 2012, Parti Saenuri menamakan Geun-hye sebagai calon presiden yang menyaksikan Moon Jae-In, calon dari Parti Demokratik Bersatu dan bekas peguam hak asasi manusia sebagai pencabar utama beliau.

Nyata kemenangan berpihak kepadanya dan beliau dilantik secara rasmi sebagai presiden ke-11 dan presiden wanita pertama Korea Selatan pada 25 Februari 2013.

Dalam ucapan perasmiannya beliau berharap membawa era baharu kepada kerajaan dan Korea Utara sanggup berundur daripada program nuklear dan kembali ke jalan keamanan serta pembangunan bersama.

Bagi memenuhi wawasan pentadbiran dan objektifnya, Geun-hye membuat perubahan radikal termasuk penstrukturan semula Rumah Biru. Selain itu, beliau turut membina hubungan baik dengan negara luar seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China.

Sepanjang bergelar presiden selama empat tahun, beliau banyak berdepan banyak kontroversi, namun skandal melibatkan rakan lamanya menyebabkan beliau kehilangan kuasa.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.